BANGGA: Anggota Kelab Peminat Stacy, Malta Pascalis (kiri), Roy Jr Siponong, Jacinta dan Cherry menatap gambar juara AF6 di Kampung Tuavon, Penampang, semalam.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Perkarangan rumah di Kampung Tuavon dihias sambut kepulangan juara AF6

PENAMPANG: Deretan khemah putih sudah siap dibina di perkarangan rumah juara Akademi Fantasia Musim Ke-6 (AF6), Stracie Angie Anam atau Stacy di Kampung Tuavon, di sini untuk menyambut kepulangannya. Juara kecil molek itu akan diraikan peminat, sebaik saja beliau kembali ke kampung halamannya beberapa hari lagi.

Penduduk Kampung Tuavon menganggap Stacy sebagai wirawati mereka. Stacy dan anggota keluarganya masih berada di Kuala Lumpur selepas konsert akhir AF6 malam kelmarin. Hanya kakak sulungnya, Cherry dan sahabatnya, Jacinta Gilik berada di rumah mereka.

Cherry yang bertugas sebagai jurumekap artis, berkata penduduk kampung sangat bangga dengan kejayaan adiknya. "Sejak kecil Stacy minat menyanyi dan selalu menyertai pertandingan. AF6 adalah kejayaan terbesarnya," katanya ketika ditemui di kampung itu, di sini semalam. Stacy, 18, yang sentiasa menduduki tempat teratas dalam setiap persembahan, dinobatkan juara AF6 pada konsert akhir di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin. Beliau yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa dan lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan lirik oleh Intan Norul Azlina dan Layla Ismail berjaya memukau penonton.


Stacy membawa pulang hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM733,734, merangkumi sebuah banglo empat bilik di A Famosa, Melaka (RM550,000), kereta Peugeot 307 XS tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM139,535), wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Itali tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony Playstation tajaan Astro (RM1,199) bersama trofi AF6. Jacinta yang teruja dengan kejayaan Stacy, berkata kejayaan itu membuktikan anak Sabah juga mampu menjuarai AF, sekali gus menepis persepsi kononnya mereka hanya mampu menjadi naib juara seperti sebelum ini. Bekas rakan kugiran Stacy, Felix Samunting, berkata beliau gembira dengan kejayaan anak Kampung Tuavon itu dan berharap Stacy mampu mencipta nama sebagai artis popular. "Walaupun masih terasa kehilangan Stacy dalam kugiran kami, kejayaannya lebih penting daripada kejayaan kami," katanya.
source

0 Responses to "Khemah Putih Sambut Stacy"

Post a Comment