Jentik Sikit: Belum apa-apa lagi, sudah berlagak ?

AKADEMI Fantasia musim keenam (AF6) sudah pun berakhir Sabtu lalu. Lega kita dengan kawan-kawan, lepas ini tak payahlah nak terkejar-kejar lagi nak membuat liputan AF6.

Sayangnya AF6 tidak begitu memberi impak seperti mana AF2 dan AF3 dulu. Kita berkesempatan juga menonton konsert akhirnya di Stadium Putra Bukit Jalil minggu lalu. Tapi konsert akhirnya tak ubah macam konsert mingguan. Tidaklah semeriah mana sebab beberapa pelajar yang berjaya melangkahkan kaki ke final ala-ala saja. Tapi tidak dinafikan ada juga yang berbakat.

Sebenarnya kita bukanlah nak komen pasal konsert. Dah tak larat, bertimbun-timbun cerita mengenai konsert dan pun terpampang dalam surat khabar. Cuma kita nak tegur sikit sikap dua bintang yang entahkan bakal menyinar atau pun tidak.


Tapi kita harap bukan kelima-lima pelajar ini saja tapi semua pelajar AF yang lain mempunyai jalan mudah dalam dunia hiburan ini. Kita simpati juga dekat mereka, susah payah korbankan kerjaya masing-masing tetapi akhirnya dunia hiburan tidak menjanjikan apa-apa kepada mereka.

Begini kisahnya, sejurus berakhir konsert minggu lalu satu sidang media diadakan. Selepas menemubual pelajar terutama yang top 3, adalah dikalangan rakan-rakan kita yang minta nombor telefon Stacy, Riz dan Nubhan.

Kami minta bukanlah untuk keperluan peribadi sebaliknya atas tujuan kerja. Manalah tahu kalau ada maklumat yang tak cukup atau kurang pasti, bolehlah kami hubungi untuk dapatkan maklumat tambahan. Atau mungkin selepas ini kami boleh telefon untuk buat sesi fotografi. Takkan tak mahu muka terpampang dekat akhbar atau majalah?


Mula-mula kami minta pada Stacy. Ternyata juara AF6 itu seorang yang cukup profesional, dia tak ada masalah pun nak bagi nombornya pada media. Tanpa banyak soal dan tanpa banyak tanya dia terus memberikan nombornya.


Tetapi bila tiba giliran Riz dan Nubhan. Macam-macam alasan yang mereka berikan. Riz kata nombornya kemungkinan tidak aktif lagi sebab sudah lama tidak digunakan. Si Nubhan pula dengan muka yang takut dan teragak-agak.

Bila melihat muka si Nubhan yang sudah cuak-cuak tu, kami pun menjelaskan yang kami bukannya nak nombor dia untuk kepentingan sendiri. Bukan nombor dia saja yang kami ada, nombor artis popular lain pun kami simpan juga. Siap kami tunjuk sebagai bahan bukti.

Mungkin masih baru lagi, jadi mereka berdua ini tidak begitu yakin. Tapi setelah ditunjukkan barulah dia berani nak beri. Itupun dalam keadaan yang teragak-agak dan hendak tak hendak je wajah si Nubhan.

Tak pelah dik. Baru keluar, maklumlah tengah panas lagi memang teragak-agak nak bagi. Memang perkara tu macam tradisi. Mereka yang sudah senior mereka masa mula-mula keluar pun macam itu juga. Tapi bila kerjaya tak seberapa, dia pula yang terhegeh-hegeh cari kita...serima@bharian.com.my

source

0 Responses to "Media Puji Stacy Professional"

Post a Comment