07-08-2006 03:55:47 PM

Oleh Salhan K. Ahmad

KUALA LUMPUR: Muhammad Faizal Ramly (Faizal) mungkin akan menjadi juara terakhir siri Akademi Fantasia (AF) apabila penyiarnya Astro masih belum memberikan kata putus sama ada program TV realiti yang semakin kurang popular di kalangan penonton itu akan diteruskan atau tidak untuk musim seterusnya.

Pengarah kanan program Astro Zainir Aminullah berkata komen-komen negatif mengenai Akademi Fantasia akan diambil kira oleh pihaknya sebelum membuat keputusan menghentikan program tersebut.

"Mungkin (akan dihentikan), mungkin tidak. Kami tidak boleh menjawab soalan itu sekarang sehinggalah kami membuat post mortem nanti seperti yang kami jalankan selepas setiap siri. Kami akan melihat sama ada ia akan menguntungkan Astro," katanya dalam sidang akhbar selepas konsert akhir Akademi Fantasia 4 di Stadium Putra Bukit Jalil pada Sabtu.

Ketegangan dapat dirasai apabila beliau mengulas soalan dan kritikan yang dikemukakan wartawan pada sidang akhbar yang berlangsung selama kira-kira 45 minit itu sehingga beliau terpaksa mengalihkan perhatian media ke arah pemenang-pemenang yang turut serta dalam sidang media itu.



Faizal (tengah) ditabalkan juara Akademi Fantasia 4 diiringi pemenang tempat kedua Lotter (kanan) dan Farhan di tempat ketiga. Faizal membawa pulang sebuah Toyota Vios bernilai RM80,000, wang tunai RM20,000 daripada Hotlink dan pakej percutian ke Paris oleh Loreal. (Foto The Star)

"Kenapa anda tidak tanya pemenang? Anda harus hormati kenyataan bahawa kita ada pemenang-pemenang pada malam ini," katanya sambil mengherdik wartawan.

AF4 hanya berjaya meraih 7.4 juta penonton berbanding 10.7 juta dalam AF3 dan 15 juta pada AF2. Zainir menjelaskan perkara itu antaranya disebabkan oleh tayangan Piala Dunia FIFA 2006 yang bertindih dengan waktu siaran Akademi Fantasia 4.

"Dua konsert awal AF4 terpaksa dijadualkan semula kerana bercanggah dengan waktu siaran Piala Dunia, untuk memastikan penonton Astro dapat menikmati kedua-duanya. Percanggahan waktu siaran ini menyebabkan penonton tidak dapat mengenali peserta daripada peringkat awal lagi dan memberi kesan terhadap jumlah undian."

Namun, beliau menjelaskan, terdapat peningkatan dari jumlah penonton tertinggi bagi AF4 sebanyak kira-kira 300,000 berbanding hampir 1.4 juta orang pada konsert ke-lapan AF3 yang mencatat tontonan tertinggi pada konsert ke-empat dengan jumlah 1.1 juta orang.

Menurutnya, AF masih menjadi jenama yang strategik kepada Astro untuk mendapatkan lebih pelanggan sejak dua tahun lalu. Namun "jumlah pengundi bertambah, cuma bilangan undi menurun. Maknanya, ketaksuban pengundi untuk mengundi dengan banyak telah tiada lagi."

"Kebanyakan daripada pelanggan baru Astro melanggan kerana ingin menonton Akademi Fantasia," tambahnya mengulas peningkatan jumlah pelanggan Melayu Astro sebanyak dua peratus, berbanding 45 peratus pada tahun kewangan 2005.

Faizal muncul juara dalam AF4 dengan 34 peratus undian membawa pulang hadiah bernilai RM372,815 termasuk sebuah kondominium berniali RM240,000, kereta Toyota Vios dan wang tunai RM20,000.

Beliau diikuti Lotter P. Edwin Edin (Lotter) yang meraih 28 peratus undian dan menerima hadiah bernilai hampir RM120,000 termasuk kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000.

Tempat ketiga disandang peserta wanita Nur Farhan Azizan (Farhan) dengan 20 peratus undian dan membawa pulang hadiah bernilai hampir RM30,000.


0 Responses to "Program AF Mungkin Dihentikan"

Post a Comment